Khamis, 5 Februari 2015

MEROTAN MENJADI SATU KESALAHAN JENAYAH



Hari ini rakyat Malaysia mempunyai sebab untuk gelisah oleh kerana beberapa perkara dan isu yang berlaku sejak kebelakangan ini, beberapa minggu yang lalu negara digemparkan dengan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim tentang isu merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah. Alasan yang di berikan ialah kerana telah menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak - Kanak (CRC).

Persoalannya disini adalah, mengapa sebelum menandatangani perjanjian ini pihak kerajaan tidak meneliti syarat - syarat perjanjian?. Saya sebagai Presiden Persatuan Kelab - Kelab Belia Malaysia yang mewakili hampir 86,000 ahli kelab belia di bawah gabunganya di seluruh negara, dengan tegas menentang cadangan ini dan menolak alasan tersebut.

Di antara dalil mengapa kami di MAYC menentang sekeras - kerasnya cadangan ini ialah kerana, ianya jelas mengabaikan cara hidup Islam, kedua saya ingin menegaskan disini bahawa, merotan bukanlah mendera, terdapat pelbagai syarat yang digariskan oleh Islam samada melalui hadis mahupun Al- Quran sendiri. Sebagai contoh, " Suruhlah anak - anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia 10 tahun"  ( Riwayat Abu Daud, sahih ). 

Tetapi perlu di ingat, dalam Islam proses untuk memukul memerlukan satu proses yang panjang, sebelum memukul haruslah kanak - kanak tersebut telah berusia 10 tahun ke atas, alasan untuk dipukul hendaklah alasan yang benar, pastikan tidak mendatangkan kecederaan dari segi mental dan fizikal, dan pelbagai lagi proses, cara dan peralatan memukul itu sendiri di ambil perhatian sebelum memukul.


Jika ada ibu bapa yang memukul anak tampa alasan yang benar, dalam keadaan dan alasan yang tak munasabah, atau mendatangkan kecederaan yang serius, maka perkara merotan itu adalah bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh untuk kerajaan menganggap sebagai satu kesalahan jenayah dan perlu diambil tindakan undang - undang.

Merotan dalam islam bukan sebagai hukuman ( al-'uqubah), tetapi sebagai satu cara dan kaedah pendidikan ( at- tarbiyyah wa at-ta'dib). Di dalam Al-Quran digunakan perkataan ijlidu, untuk merujuk kepada merotan, ijlidu berasal kepada perkataan Jaldun yang bermaksud kulit. Mengikut fakta sains, kulit adalah deria yang merasakan kesakitan, justeru itu dapat disimpulkan disini had merotan hanyalah untuk dirasai oleh kulit sahaja. Maka jelaslah disini, bahawa merotan bukan proses mendera jika mengikut cara dan kaedah yang disarankan oleh Islam.

Kami sebagai diantara pertubuhan belia yang terbesar dan tertua di negara ini, ingin menasihati kerajaan untuk tidak terikut - ikut acuan undang - undang barat yang kebanyakannya amat tidak sesuai dengan adat budaya dan agama  rakyat Malaysia. Kami yakin Malaysia sebagai negara yang berdaulat dan merdeka mampu untuk menempa acuan undang - undangnya sendiri tanpa perlu meniru undang - undang dari negara lain, dan kami percaya di bawah kepimpinan yang sedia ada, Malaysia mampu melakukannya.


Justeru itu, kami ini menyarankan kepada pihak Kerajaan amnya dan pihak Kementerian khasnya, untuk mengkaji semula langkah atau cadangan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan