Isnin, 12 Januari 2015

UniMAP Hantar Sukarelawan Fasa Keempat Ke Kelantan



ARAU, 11 Jan (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan misi kemanusiaan 'Operasi Pasca Bencana Banjir' di Pantai Timur fasa empat dengan menggerakkan 90 lagi sukarelawan bagi membersihkan kawasan banjir di Kelantan.

Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata sukarelawan tersebut dari pelbagai jabatan dan kolej kediaman UniMAP berlepas ke Tumpat pagi ini.

"Misi keempat ini tertumpu di sekolah yang belum dibersihkan setelah sukarelawan UniMAP membersihkan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Laut dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pinang," katanya.

Berucap pada majlis pelepasan misi itu di perkarangan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di kampus induk UniMAP di sini, Kamarudin berkata sukarelawan UniMAP telah membersihkan beberapa sekolah bermula fasa satu hingga tiga membolehkan para pelajar dapat memulakan sesi persekolahan mereka dengan lancar hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (UniMAP), Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Dr Mohd Fo'ad Sakdan.

"Misi ini mampu menguatkan semangat perpaduan antara kaum dan oleh itu UniMAP menggalakkan pelajarnya yang pelbagai bangsa mengambil bahagian selain mereka dapat mendekati mendekati dan memahami kesusahan masyarakat," katanya.

Lebih 400 pelajar dan staf UniMAP termasuk anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) terbabit dalam misi pertama, kedua dan ketiga bermula 1 Jan lepas manakala fasa keempat bermula hari ini hingga 15 Januari.

Kamarudin berkata misi bantuan kemanusiaan UniMAP akan diteruskan oleh sukarelawan fasa kelima, keenam dan ketujuh yang melibatkan sukarelawan paling ramai melalui Program Inovasi Sosial 1Malaysia di Kelantan, Perlis dan Pulau Pinang selepas 15 Jan ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan