Jumaat, 5 Disember 2014

Tarik Balik Darjah Kebesaran Anwar


SHAH ALAM, 4 Dis (Bernama) -- Anggota Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN)
Selangor menjunjung penuh keputusan Sultan Selangor
menarik balik darjah kebesaran yang dikurniakan kepada
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri
Anwar Ibrahim.
Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohd Shamsuddin
Lias, yang mewakili 11 ADUN BN lain, berkata penarikan
balik Darjah Kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul
Aziz Shah (S.S.S.A.) yang membawa gelaran Datuk Seri
daripada Anwar adalah tindakan wajar dengan
mengambil kira tindakan beliau yang sengaja
menimbulkan krisis jawatan Menteri Besar Selangor
sejak akhir tahun lepas.
"Justeru, kami Adun BN berpendapat penarikan darjah
kebesaran ini dibuat berdasarkan kuasa dan hak mutlak
Tuanku Sultan," katanya pada sidang berita di bangunan
Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk
Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan pada
Khamis, berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik
balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk
Seri ke atas Anwar berkuat kuasa 3 Nov lepas.
Beliau berkata tindakan itu dibuat atas perlakuan Anwar
sejak akhir tahun 2013 yang mempersoalkan
kewibawaan dan kuasa Sultan Selangor serta institusi
raja dalam menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri
Besar Selangor pada tahun ini.
Susulan penarikan balik darjah kebesaran itu, Mohd
Shamsuddin yang juga ADUN Sungai Burong, mendesak
Anwar meletakkan jawatan sebagai Penasihat Ekonomi
Selangor.
Dalam perkembangan lain, Mohd Shamsuddin berkata
pihaknya menolak pelantikan sebagai pengerusi baharu
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Negeri
Selangor sepertimana diluluskan dalam persidangan
Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini kerana tidak
berpuas hati dari segi komposisi wakil ADUN BN dalam
jawatankuasa itu.
Sementara itu, Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh
memberitahu sidang akhbar bahawa Mohd Shamsuddin
tidak boleh berbuat demikian kerana Peraturan Tetap
dewan 68(1) yang dipinda dalam sesi dewan kali ini
menetapkan bahawa ketua pembangkang Selangor perlu
mengetuai jawatankuasa PAC.
Beliau juga berkata sebanyak 14 laporan jawatankuasa
pilihan termasuk laporan Jawatankuasa Pilihan Khas
Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan
Ketelusan (Selcat) Selangor mengenai isu air lombong
diluluskan pada sesi dewan kali ini.
Menurutnya dewan turut meluluskan Peraturan Tetap
baharu 10A bagi membolehkan setiap sidang dewan
disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen
dan laman sesawang.
Persidangan dewan ditangguhkan ke suatu tarikh yang
akan ditetapkan kemudian.
-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan