Rabu, 3 Disember 2014

Dewan Negara: Takrifan Umur Maksimum Belia Diturunkan Untuk Penuhi Keperluan Pembangunan


KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Matlamat utama
cadangan Kementerian Belia dan Sukan menggantikan
takrifan umur maksimum belia daripada 40 tahun
kepada 30 tahun ialah supaya ia setara dengan piawaian
antarabangsa selain memenuhi keperluan pembangunan
negara.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk M Saravanan
berkata ia juga bagi memastikan kesinambungan
kepimpinan masa depan negara, mengurangkan jurang
generasi dalam kalangan belia, mempercepat proses
kematangan dan mengurangkan tingkah laku berisiko
dalam kelompok belia.
"Ia juga bagi menstabilkan identiti diri belia,
memantapkan proses pembangunan belia merangkumi
kecerdasan intelektual, spiritual, emosi dan fizikal selain
menjamin keamanan dan kestabilan negara," katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Prof Dr Sim Kui Hian
yang mahu kementerian menyatakan matlamat utama
cadangan penurunan had umur itu pada persidangan
Dewan Negara hari ini.
Sim juga bertanya apakah kesan pelaksanaan had umur
itu terhadap kewujudan dan perkembangan organisasi
belia di seluruh negara.
Saravanan seterusnya berkata kesan pelaksanaan had
umur maksimum itu akan meremajakan kepimpinan
pertubuhan belia.
Selain itu, ia juga akan membuka lebih ruang untuk
latihan dan pendedahan dalam pelbagai bidang
berkaitan pembangunan belia di bawah umur 30 tahun.
Media sebelum ini melaporkan draf Dasar Belia Malaysia
bagi menggantikan dasar sedia ada akan mengusulkan
pindaan takrifan umur belia kepada 15 hingga 30 tahun
sebagai intipati penting dalam perubahan dan
penambahbaikan, seiring dengan keperluan semasa
belia.
-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan