Rabu, 26 November 2014

Profesor Oxford Puji Cara Malaysia Kendalikan Negara

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kejayaan
Malaysia mengelakkan konflik politik yang ganas adalah
berbeza dengan kebanyakan negara jirannya yang
berdiri sama tinggi walaupun di tengah-tengah
pencapaian sosial dan ekonomi yang mantap.
Ketika menyatakan demikian, Frances Stewart, Profesor
Emeritus pembangunan ekonomi di Universiti Oxford,
berkata kejayaan dalam pertumbuhan inklusif telah
meletakkan asas bagi kejayaan politik yang penting ini.
"Atas sebab ini - dan juga atas kepentingan
mewujudkan masyarakat yang adil - adalah penting
bahawa Malaysia terus mengutamakan pertumbuhan
inklusif dan perpaduan sosial dan bergerak ke hadapan
dengan dasar generasi kedua yang diperlukan untuk
menyokong usaha ini," katanya.
Stewart berkata kejayaan Malaysia dalam tiga aspek
pertumbuhan, mengurangkan kemiskinan dan
peningkatan dalam kesaksmaan mendatar dalam
tempoh yang berpanjangan adalah antara yang terbaik
di dunia.
Kenyataannya terkandung dalam "Laporan
Pembangunan Insan Malaysia (MHDR) 2013: Menyusun
Semula Masa Depan Inklusif" yang dilancarkan di sini
hari ini.
Berdasarkan kepimpinan Tan Sri Datuk Dr Kamal Salih
yang bertindak sebagai perunding utama dan editor,
laporan itu diterbitkan oleh Program Pembangunan
Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP), Malaysia.
Stewart berkata pertumbuhan inklusif - pertumbuhan
yang memanfaatkan golongan miskin lebih daripada
bersekadar - harus kekal menjadi objektif utama dasar.
"Untuk mencapai matlamat ini, dasar-dasar baharu
mungkin diperlukan,' katanya dalam laporan itu.
Dokumen itu memberi penilaian yang bebas mengenai
pertumbuhan Malaysia dan pilihan dasar dan
pelaksanaan dalam usaha untuk mencapai status
negara maju menjelang tahun 2020.
Laporan mengandungi 331 muka surat itu telah
dirangka oleh paradigma yang merangkumi
pertumbuhan inklusif bersepadu sebagai elemen teras
dalam analisis dan cadangan dasar.
Dokumen tersebut mengakui bahawa Malaysia adalah
negara yang kompleks daripada segi politik, ekonomi
dan sosial untuk mentadbir dan mengurus.
"Tetapi dengan pembangunan yang seimbang dan
dasar-dasar yang pragmatik, ia berjaya mencapai
kejayaan besar dalam pembangunan inklusif dalam
konteks perkongsian yang lebih adil untuk
memanfaatkan prestasi ekonomi.
"DEB (Dasar Ekonomi Baharu) melalui dasar-dasar
pembangunan derivatif yang berjaya yang beroperasidi
bawah pertumbuhan dengan pengagihan telah mencapai
kemajuan yang baik tetapi banyak usaha perlu dilakukan
jika negara hendak mencapai status negara maju dan
pertumbuhan inklusif secara seiring," katanya.
Laporan itu juga menyentuh mengenai kebimbangan
terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (CBP) tahun depan yang akan
memperluaskan asas cukai negara.
Ia menegaskan bahawa permohonan bijak bagi senarai
pengecualian akan melindungi golongan miskin.
Dokumen itu juga menarik perhatian bahawa penjimatan
daripada pengurangan subsidi akan mewujudkan ruang
untuk kerajaan memberi tumpuan kepada lebih banyak
kumpulan sasar meningkatkan pemindahan kepada
golongan berpendapatan rendah dan mudah terjejas.
Beliau berkata ini akan menyumbang kepada dasar
sosial yang lebih inklusif dan memberi kesan positif
secara langsung terhadap pengagihan pendapatan isi
rumah.

-- BERNAMA--

Tiada ulasan:

Catat Ulasan