Rabu, 30 April 2014

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyambut baik cadangan Umno untuk menubuhkan jawatankuasa teknikal hudud

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyambut baik cadangan Umno untuk menubuhkan jawatankuasa teknikal hudud di peringkat kebangsaan bagi membolehkan pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 lebih difahami sebelum usul itu dibawa ke Parlimen.

Beliau bagaimanapun, enggan campur tangan dalam urusan teknikal, walaupun mengakui pelaksanaannya perlu kepada jawatankuasa teknikal.

“Masalah teknikal bukan kerja saya, saya hanya sebut masalah dasar, bagaimana dasar ini hendak dilaksanakan, ia perlu kepada teknikal.

“Saya tidak suka masuk campur dalam urusan teknikal, terserah kepada pihak berkenaan tapi saya menyambut baik cadangan itu, saya gembira kerana hudud yang dulunya ditentang, kini diterima,” katanya mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung cadangan Umno mewujudkan sebuah jawatankuasa teknikal mengenai hudud di peringkat kebangsaan.

Beliau ditemui media selepas mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di pejabatnya di Institut Pemikiran Tok Guru di sini, semalam.

Muhyiddin dalam lawatan kerja sehari ke Kelantan pada Ahad lalu berkata, jawatankuasa itu akan disertai golongan yang arif mengenai hukum hudud termasuk pakar hukum agama daripada luar negara.

Sambil meluahkan kegembiraannya terhadap perkembangan positif di sebalik isu pelaksanaan hudud di Kelantan, Nik Aziz berkata, selama 23 tahun beliau berjuang memperkenalkan Pas dan gerakan Islam kepada rakyat dan kini berita baik diterimanya.

Dalam pada itu, mengulas pertemuan bersama Asyraf Wajdi, Nik Aziz berkata, beberapa perkara telah dirungkaikan dan mendapat maklum balas positif daripada Ahli Majlis Tertinggi Umno itu, tambahan pula beliau antara orang pertama menganggotai jawatankuasa agama (Yadim) di awal penubuhannya dahulu.-SH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan