Khamis, 30 Januari 2014

Cadangan hukuman mati pengedar daun ketum

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mencadangkan kepada kerajaan agar pengedar daun ketum dihukum mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, ini kerana pengedaran dan penyalahgunaan daun ketum yang semakin berleluasa di negara ini hanya dapat dibendung sekiranya bahan terlarang itu disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Beliau berkata, pengedar daun ketum sekarang cuma boleh didakwa di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun, namun kebanyakan kes mendapati mereka hanya dikenakan hukuman denda menyebabkan kesalahan tersebut dilakukan secara berulang-ulang.

Menurut beliau, lebih merisaukan apabila pengedar daun ketum mula memasarkan bahan tersebut sehingga ke Thailand dan kemungkinan ke Singapura menyebabkan Malaysia boleh dianggap sebagai negara pengeluar daun ketum untuk pasaran antarabangsa.

Sekarang kalau anda tanam daun ketum belakang rumah, saya tidak boleh buat apa. Tanamlah 10 pokok atau buat macam ladang getah, kami hanya boleh ambil tindakan apabila anda ambil daun ketum itu, masak dan jual kepada orang lain," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Noor Rashid berkata, selain daun ketum beberapa bahan lain akan turut dicadangkan dimasukkan ke dalam jadual pertama antaranya iodin, kafein, kloroform dan hidroklorik memandangkan trend pengedaran dadah antarabangsa mendapati setiap dua minggu pelbagai dadah baru dihasilkan daripada bahan-bahan ini.

Selain itu katanya, banyak bahan yang digunakan untuk menghasilkan dadah seperti syabu mudah dibeli dan tidak terdapat dalam jadual pertama dan pembawanya tidak boleh didakwa meskipun bertujuan menghasilkan dadah.

Menurutnya, ini terbukti apabila statistik PDRM tahun lalu mendapati daripada 175,000 individu yang ditahan kerana salah guna dadah, hanya 50 peratus daripada jumlah itu terjebak dengan dadah organik seperti candu dan morfin manakala selebihnya membabitkan dadah sintetik.

Apa yang berlaku di luar negara ialah mereka akan mencari bahan-bahan yang tidak terdapat dalam jadual dan menggunakan teknologi canggih untuk menghasilkan dadah yang mempunyai kesan sama.

Setakat ini teknologi ini tidak sampai lagi di negara kita, tetapi kita takut akan sampai suatu hari nanti. Maka kita cadangkan perkara itu dibahas di Parlimen bagi memastikan semua bahan tersebut tergolong dalam jadual pertama," tambahnya.
http:// www.utusan.com.my/ utusan/Jenayah/­20140129/je_05/ Cadangan-hukuman-mati -pengedar-daun-ketum

Tiada ulasan:

Catat Ulasan