Khamis, 29 Ogos 2013

SUDAH LAMA BERTAPAK

13.7.1981, Kerajaan Malaysia telah mengusir keluar tiga orang pegawai Kedutaan Soviet dari negara ini kerana kesalahan pengintipan. Turut sama ditangkap ialah Encik Siddiq Mohamad Ghouse. Beliau telah ditangkap di bawah akta keselamatan Dalam Negeri (I.S.A.) kerana menjadi agen Polis Rahsia Soviet iaitu KGB dan kegiatannya itu memudaratkan keselamatan negara. Pegawai-pegawai Kedutaan Soviet yang di usir itu ialah Encik G.I. Stepanor, Setiausaha Pertama Kedutaan; Encik V.P.Romanov, Setiausaha Kedua Kedutaan Soviet dan seorang kakitangan bukan diplomatik di bahagian ekonomi kedutaan Soviet iaitu Z.L. Khamidauline. Tan Sri Ghazali Shafie selaku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dalam kenyataan akhbar mengatakan bahawa pihak polis negara ini sudah pun merampas alat-alat yang dibekalkan oleh agen-agen KGB kepada Encik Siddiq Ghouse. Beliau menyatakan bahawa polis telah mula mengadakan pengitipan di atas kegiatan-kegiatan yang dijalankan oleh Encik Siddiq dan tiga orang agen tersebut sejak beberapa bulan yang lalu. Tan Sri Ghazali seterusnya menyatakan bahawa Encik Siddiq selaku agen KGB tidak berjaya mendapatkan sebarang dokumen rahsia dari kerajaan kerana kecekapan pihak perisik Malaysia. Encik Siddiq tidak dapat melakukan sesuatu yang boleh merosakkan keadaan di negara ini. Sesungguhnya pengusiran keluar tiga orang pegawai kedutaan Rusia oleh Kerajaan Malaysia pada hari ini dalam tahun 1981 telah dipandang berat oleh Kerajaan kerana kegiatan khianat ketiga-tiga pegawai itu tidak dapat diterima dan merupakan penyalahgunaan yang berat sebagai pegawai kedutaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan